Oleh Jimadie Shah Othman
Perebutan jawatan timbalan presiden PKR - yang kini tinggal dua penjuru akibat pengunduran Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon timbalan presiden - dilihat akan lebih menarik dan panas.
Ini kerana, pelbagai persoalan berhubung impak pengunduran calon heavyweight itu masih mendebarkan dan penuh tanya tanya.Tambahan lagi apabila penyelaras Pakatan Rakyat itu memulakan siri jelajah di seluruh negara, antaranya bagi menjelaskan 'kepincangan' Jawatankuasa Pemilihan PKR (JPP) dan menjaja kemungkinan penubuhan 'Keadilan Baru'.
Ketika pemilihan PKR masih dihurung pelbagai kontroversi dan 'dihantui' peratusan keluar mengundi yang rendah, pengundian di 81 lagi cabang – 12 pada Jumaat, 41 pada Sabtu dan 28 pada Ahad – akan berlangsung seperti biasa mulai hari ini.
Pada minggu pertama pemilihannya PKR dua minggu lalu, peratusan keluar mengundi hanya sekitar sembilan peratus manakala pada minggu kedua hanya meningkat sedikit kepada 12 peratus.
Justeru, parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail itu dilihat tiada pilihan kecuali menggiatkan jumlah keluar mengundi bagi mengelakkan tanggapan proses '1 undi 1 anggota' itu disambut dingin kira-kira 400,000 ahlinya di seluruh negara.
Dan sasaran itu dilihat melalui jalan penuh berliku ketika calon popular setakat ini Azmin Ali sudah selesa dengan majoriti sebanyak 2,479 undi meninggalkan pencabarnya yang masih kekal Mustaffa Kamil Ayub.
Kekosongan terlalu besar buat MustaffaSelepas 87 cabang bermesyuarat hujung minggu lalu, Azmin mendapat 6,467 undi, manakala Zaid memperolehi 3,988 dan Mustaffa Kamil Ayub meraih 1,215 undi.
Dengan pengunduran Zaid, majoriti Azmin kini bertukar kepada 5,252 undi - suatu angka yang sukar dihambat Mustaffa Kamil.
Bagaimanapun, permainan ini dijangka lebih menarik sekiranya Mustaffa Kamil– juga orang lama dalam PKR – dapat mengisi kekosongan yang ditinggalkan Zaid sebagai bekas menteri Umno yang disambut masuk dalam PKR penuh bergaya setahun lalu.
Persoalannya, adakan ruang kosong itu terlalu besar untuk diisi oleh Mustaffa Kamil? Tetapi bekas aktivis beliau dan NGO Islam itu juga bukan calang-calang calon.
Selain gaya dan retorik mirip Anwar, Mustaffa Kamil pernah membuktikan kekuatannya apabila menang bertanding jawatan naib presiden tiga tahun lalu walaupun daripada segi pencalon, beliau ketika itu di kedudukan keenam.
Namun, sekiranya anggota akar umbi PKR mulai bosan, semua percaturan itu akan menjadi tidak bermakna apabila pemilihan itu tinggal 'syok sendiri' dan tidak dipedulikan.
Dari segi yang lain, Azmin pula - yang masih dibelenggu dengan persepsi 'yesman' kerana hubungannya yang rapat dan lama dengan Anwar - pula tiada pilihan kecuali mengutip majoriti sebanyak mungkin bagi membuktikan mandat anggota PKR bersamanya.
Zaid pergi lebih jauh?
Walaupun terdapat cakap-cakap bahawa Mustaffa Kamil munggkin mengikuti jejak langkah Zaid, kemungkinan itu dilihat tipis buat masa ini.
Ini dikuatkan lagi dengan kenyataan terbaru Mustaffa Kamil semalam yang sekali lagi mengulangi ikrar tidak berbelah baginya pada Anwar dan Wan Azizah selepas hadir di sidang media yang menghentam bosnya sebelum ini.
Dalam kenyataan satu halaman itu, Mustaffa Kamil tampil menafikan terlibat menunjukkan memorandum mendesak Anwar dan Azmin supaya berundur pada sidang media di kediaman Zaid di Petaling Jaya.
Gambar beliau bersama Zaid itu digunakan secara meluas di pelbagai media arus perdana dan portal berita.
"Saya membantah sekeras-kerasnya laporan yang salah di dalam caption gambar tersebut kerana memorandum yang ditunjukkan di dalam gambar tersebut bukan sama sekali untuk mendesak Datuk Seri Anwar dan Sdr Azmin berundur.
"Sepertimana yang telah saya nyatakan sebelum ini, memorandum yang saya hantar pada 9 November 2010 tersebut adalah untuk meminta pembatalan dan penjalanan semula pemilihan Kepimpinan PKR 2010 dan kandungannya diketahui oleh Datuk Seri Anwar dan Datuk Seri Dr Wan Azizah," jelas Mustaffa Kamil.
Setakat ini, selain mengundurkan diri dan melepaskan semua jawatan dalam PKR, masih belum jelas sama ada Zaid boleh bertindak lebih jauh daripada itu.
Menanti 'nuklear besar'
Menurut sumber yang rapat dengannya, kem beliau mendakwa masih mempunyai bukti 'penyelewengan' pemilihan PKR yang masih belum didedahkan. Jenis bukti berkenaan setakat ini masih belum jelas.
Bagaimanapun, jika benar pendedahan baru ini benar-benar besar, ia bakal menjadi 'nuklear besar' bagi menghapuskan keyakinan anggota PKR kepada proses demokrasi itu, seterusnya mengikis kenyakinan mereka pada PKR.
Kemungkinan paling buruk yang betul-betul bakal memburukkan nama JPP parti itu apabila berlakunya penarikan diri beramai-ramai sebagai calon di pelbagai peringkat.
Setakat ini, seorang calon naib presiden Jonson Chong yang juga bekas pengarah komunikasi PKR difahamkan telah menarik diri. Pengumuman rasminya dijangka dibuat beberapa jam lagi.
Walaupun terdapat kemungkinan-kemungkinan di atas, berdasarkan premis terdapat pelbagai kemungkinan dalam politik, pemilihan di 81 lagi cabang mulai esok mungkin berjalan begitu sahaja, seperti biasa, seperti tiada apa-apa yang berlaku.
Bahangnya mungkin beralih kepada perebutan kerusi nombor tiganya pula di mana beberapa 'selebriti' PKR bertanding, antaranya 'puteri reformasi' Nurul Izzah Anwar, Timbalan Ketua Meneri Pulau Pinang Dr Mansur Othman dan Pengarah Strategik Tian Chua.
Sumber:Malaysiakini
No comments:
Post a Comment