Friday, 26 November 2010

PENGUNDI ATAS PAGAR MENOLAK PAKATAN RAKYAR PRU-13

Baca dan analisa sendiri...........

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Memang sukar dan sengit. Mungkin keputusannya juga tidak dijangka nanti, mengulangi debaran 2008. Ya, tidak mudah bagi mana-mana parti politik berdepan pilihan raya umum ke-13. Tiada lagi jalan mudah seperti dahulu. Rakyat Malaysia kini benar-benar sudah ada pilihan untuk dipilih, tidak sepertimana pernah dikritik (sekali gus menyindir parti pembangkang) oleh bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abd Rashid Abd Rahman dalam satu seminar di Universiti Malaya, pada Disember 2006.

Dato' Seri Najib Razak pastinya mengintai peluang terbaik untuk menebus maruah BN yang tercemar teruk pada Mac 208. Tarikh pilihan raya sentiasa menjadi senjata utama untuk memerangkap seteru politik. Selalunya, selepas tempoh 36 bulan, teka-teki pembubaran Parlimen akan bermula. Najib - melalui apa jua cara, seperti yang dilafazkannya dalam perhimpunan Umno lalu - tentunya mahu membuktikan bahawa dalam pilihan raya pertama yang diterajuinya, prestasi BN akan kembali melonjak, terutama bagi merebut empat negeri (termasuk Perak yang ditawan lebih awal melalui rampasan kuasa) yang terlepas kepada Pakatan Rakyat dan memulihkan majoriti dua pertiga di Parlimen.

Sejarah menunjukkan setiap perdana menteri baru akan mencatatkan kemenangan gemilang ketika pertama kali mengepalai jentera kempen. Misalnya, dalam pilihan raya 1974,Barisan Nasional yang baru dibentuk atas inisiatif Tun Abdul Razak Hussein, yang menggantikan Tunku Abdul Rahman Putra, menguasai 135 daripada 154 kerusi Parlimen,iaitu 87.66 peratus.

Tun Dr Mahathir Mohamad pula merakamkan detik-detik indahnya dalam pilihan raya 1982 apabila BN menang 85.71 peratus kerusi Parlimen. Manakala dalam empat pilihan raya selepas itu, yang juga diterajui bekas Perdana Menteri keempat itu, prestasi BN naik-turun, tetapi tidak pernah mengatasi rekod 1982. Pada 1986, majoriti kerusi BN diParlimen adalah 83.62 peratus; 1990, 70.55 peratus; 1995, 84.36 peratus; dan pada tahun 1999, 76.68 peratus.

Tanpa diduga, Presiden Umno yang dilihat paling lemah, Tun Abdullah Ahmad Badawi, mengungguli kehebatan selepas mengejutkan parti-parti pembangkang dan memberikannafas baru buat Umno pada 2004. BN mencatatkan kedudukan paling selesa sepanjang, apabila menang lebih 90 peratus kerusi Parlimen. Keselesaan membawa padah, malah mengheret Abdullah jatuh!

Mac 2008, tsunami politik menggegarkan negara. BN hilang empat lagi negeri (kebanyakannya yang termaju di negara ini) dan buat pertama kali dinafikan majoriti dua pertiga di Parlimen. Jumlah kerusinya hanya 63.1 peratus. Undi popularnya sekitar 51 peratus sahaja. Asakan agar Abdullah berundur lebih kuat datang daripada dalam partinya sendiri. Tarikh persaraan beliau terpaksa dipercepatkan. Dan Najib - orang yang paling mendapat manfaat daripada pengunduran Abdullah itu - pastinya tidak mahu pisang berbuah dua kali.

Ramai pemerhati politik melihat pengundi kita semakin matang dan mampu menganalisis dan menghakimi dengan baik. Mereka dianggap tidak mudah tersilau lagi dengan propaganda murahan dan retorik memualkan, apatah lagi untuk gerun dengan ancaman dan ugutan. Selepas pilihan raya umum ke-10, yang menyaksikan pengundi Melayu bangun memprotes secara terbuka, timbul istilah "politik baru". Kawasan majoriti Melayu, terutama di utara dan pantai timur, "habis disapu" PAS. Isu-isu sejagat seperti ketelusan, good governance, antirasuah menjadi agenda perbincangan, merentasi isu-isu lapuk seperti sentimen perkauman.

Namun, empat tahun kemudiannya, "pantai berubah" dengan pantas. Imej "Mr Clean" Abdullah ternyata menarik imiginasi pengundi. Beliau diundi kerana potensinya dilihat begitu memikat, apatah lagi dengan keazamannya untuk membawa kelainan berbanding regim Mahathir. Timbul persoalan, apakah elemen "politik baru" yang muncul semasa teriakan reformasi sudah tidak relevan lagi? Apakah budaya politik kita merosot kembali?

Budaya politik baru ini rupanya tidak mudah disisihkan. Ia mengakar dalam diam. "Politik Malaysia tidak sama lagi selepas ini," kata bekas vokalis Blues Gang, Ito kepada saya, pada awal tahun 2000. Muntahan pemimpin tertinggi tidak ditelan bulat-bulat lagi. Wibawa media perdana menjunam. Zaman kerajaan tahu segalanya sudah berakhir.

Rakyat Malaysia menerima nasihat Abdullah agar tidak lagi membantah melalui demonstrasi jalanan, seperti fenomena 1999, tetapi menggunakan hak mereka dalam peti undi dengan begitu bijaksana. Kempen pilihan raya 2008, terutama pada minggu pertama begitu suram. Siapa sangka, rakyat sudah bersiap, malah tidak sabar-sabar lagi, untuk menghukum pemerintahan Abdullah.

Bagi A Kadir Jasin, BN ditolak kerana ia dilihat sebagai tidak cekap dan tidak sensitif kepada kehendak rakyat tetapi pada masa yang sama bongkak, mungkir janji,mengamalkan pilih kasih dan gagal menangani isu semasa seperti kenaikan harga barang dan kadar jenayah.
Kepemimpinan kerajaan dan BN dilihat sebagai mempersendakansuara dan aspirasi rakyat.
Keperibadian, gaya, kaedah serta prestasi Abdullah menjadi pertikaian. Faktor yang benar-benar menyebabkan pentadbiran beliau menjadi tidak begitu popular adalahpersepsi mengenai kesombongan dan keangkuhan segelintir kecil manusia di sekeliling Abdullah.

Saya masih ingat pandangan seorang penganalisis politik bergelar profesor dalam satu seminar di UKM pada awal 1990-an. Maksudnya lebih kurang, beruntunglah Umno yang ditakdirkan menang dalam pilihan raya pertama pada 1955, yang seterusnya mendapat kepercayaan majoriti rakyat tanpa henti. Tambahnya, jika PAS menang dalam pilihan raya awal itu, beliau yakin PAS bersama sekutunya akan terus memerintah Malaysia "sampai bila-bila".

Saya merasakan profesor berkenaan mahu menekankan soal kesetiaan pengundi kepada parti pemerintah. Waktu itu belum timbul ungkapan politik baru. Umno di kebanyakankawasan dianggap bakal menang mudah "walaupun meletakkan tunggul kayu". Faktor parti jauh mengatasi isu calon.

Era itu sudah berlalu. Pengundi yang kritis bakal "menyusahkan" siapa jua yang memerintah, termasuk Pakatan Rakyat di negeri-negeri yang dikuasainya. Rekod menunjukkan momentum kemenangan oposisi sukar dilonjakkan dalam dua pilihan raya berturut-turut, sementalahan pula dipisahkan oleh seorang perdana baru. Memang Pakatan mahumembina sejarah baru, bukan meneruskan tradisi lama yang menguntungkan BN itu.

"Benar, kerajaan negeri terbatas kuasanya. Tapi jangan terlalu ghairah mencanang impian ke Putrajaya hingga diperolokkan orang," komen seorang pensyarah politik."Tunjukkan model terbaik dari segi kecekapan pengurusan, ketelusan pentadbiran, keikhlasan dan ketekunan berbakti. Perangi betul-betul politik wang. Saya dah takdengar kerjasama empat negeri Pakatan terutama untuk membangunkan ekonomi."

"Dalam politik tidak boleh membaca selapis. Sentimen perkauman masih tebal dan perlu ditangani dengan bijak walaupun heboh budaya politik baru. Macam mana PAS nak ganti Umno kalau majoriti orang Melayu masih sangsi dengan Pakatan? Mungkin ia hanya persepsi, tapi saya tengok persepsi itu tak berjaya ditanggalkan walaupun selepas hampir tiga tahun Pakatan ditubuhkan," syarahnya lagi. Saya sekadar mencatat.

No comments: