Monday 6 December 2010

PAKATAN MUNGKIN KUASAI JOHOR, N.SEMBILAN & MELAKA

Berita yang lewat masuk...... sedap didengar dan sedap dibaca, tetapi tidak boleh complacent.


KUALA LUMPUR, 2 Dis: PAS dan Pakatan Rakyat mungkin menawan Johor, Negeri Sembilan, Melaka serta lain-lain negeri dalam pilihan raya umum akan datang. Demikian kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam temubual khas di parlimen kelmarin.
“Tidak ada suatu yang mustahil dalam dunia ini dan tidak ada kerajaan yang kekal selamanya,” katanya.
Menurutnya, tidak mustahil kita berjaya menguasai majoriti kerusi parlimen walaupun ia tidak mudah kerana Pakatan bertanding di padang yang tidak sama rata.
“Media massa dan jentera kerajaan dikuasai oleh parti pemerintah. Namun jika dilipatgandakan usaha dan kekuatan jentera, kita mampu mendapat kemenangan,” katanya. Beliau mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir yang mengatakan bahawa BN mungkin menawan kembali dua atau tiga negeri Pakatan Rakyat.
"Jika beliau katakan mungkin, kita juga hendak katakan mungkin juga PAS dan Pakatan akan kuasai Johor, Negeri Sembilan dan Melaka. “Hari ini PAS sudah mempunyai dua Adun di Johor, dan sokongan rakyat juga bertambah, petanda-petanda perubahan juga sudah dilihat," ulas Ustaz Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang. Ketika mengulas kemenangan BN di Galas dan Batu Sapi baru-baru ini, Tun Dr Mahathir mengatakan ia satu isyarat perubahan kepada BN dan mereka mungkin tawan dua atau tiga negeri Pakatan.
Namun bagi Abdul Hadi, kemenangan BN di Galas dan Batu Sapi bukan isyarat sokongan rakyat kepada BN sudah beralih, sebaliknya ia merupakan isyarat kepada Pakatan supaya mengemaskini jentera dan memperbaiki kelemahan. Menurut beliau, tidak dinafikan adanya kelemahan di pihak PAS dan Pakatan yang perlu diperbaiki. Dalam masa yang sama ketika menjawab soalan The Malaysian Insider, Isnin lepas sama ada PAS akan melaksanakan agenda negara Islam jika Pakatan menang, Ustaz Abdul Hadi menjawab: "Perlaksanaan Islam akan dilakukan peringkat demi peringkat, kita hendaklah faham bahawa Islam tidak boleh diterjemahkan sebagai religion kerana tidak memenuhi objektif Islam itu sendiri, sebaliknya maksud lebih tepat ialah a way of life, yang meliputi seluruh aspek kehidupan dan juga bukan Islam yang tidak dipaksa menganut Islam.
"Keduanya negara kita mengamalkan sistem faderalisme, yang mana ada kuasa-kuasa negeri. Sudah tentu PAS akan kuasai negeri-negeri tertentu seperti Kedah, Kelantan seperti mana juga PKR dan DAP.
Sekiranya faderalisme diamalkan dengan betul, PAS diberi peluang menunjukkan model pemerintahan Islam sebenar di negeri-negeri ini, ia dapat dilihat oleh rakyat Malaysia untuk dinilai sama ada positif atau negatif, kemudian berlakunya dialog dengan cara lebih demokratik, ini akan mengembangkan matlamat kita untuk mendirikan negara yang diterima oleh semua.
“Kita tidak mahu slogan sahaja, tetapi isinya tidak Islam.”

No comments: